SYAWAL bulan meraikan kemenangan sudah pun melabuhkan tirainya, DZULKAEDAH pula menjelma dengan suasana yang mampu mencetuskan pemikiran,
menggerakkan hati keinsafan serta membangkitkan semangat beramal
apabila melihat jemaah haji mula berlepas ke Tanah Suci.
Kewajipan
DZULHIJJAH ini bakal melengkapkan rukun Islam yang kelima dan diari
setahun amalan umat Islam. Ibadah haji penuh dengan pengajaran bukan
saja kepada bakal jemaah, malah semua umat Islam di seluruh pelusuk
dunia.
"Dan katakanlah wahai Muhammad, beramallah kamu akan
segala apa yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang
beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan." – Surah Al-Taubah, Ayat 105
Semangat
tinggi jemaah haji walaupun dalam keadaan ada yang bertongkat,
berkerusi roda, sudah berusia dan uzur atau masih muda, meninggalkan
anak masih kecil serta ahli keluarga memerlukan semata-mata menunaikan
kewajipan serta pengabdian, mampu menyuntik semangat kita semua.
Maha
Suci Allah yang panggilan-Nya tidak mengira usia, rupa, jantina,
kekuatan, pangkat mahupun darjat. Hakikatnya, yang mereka hajati walau
jauh beribu batu dan dengan segala macam ujian yang akan ditempuh adalah
rahmat, keampunan dan keredaan-Nya.
Sememangnya perjalanan itu suatu pengembaraan ujian seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perjalanan atau bermusafir itu adalah sebahagian daripada azab (penderitaan).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Dengan
sebab itulah, kejayaan bermusafir dalam ibadat haji dan mengambil roh
daripada ibadat itu iaitu pengorbanan diraikan pula dengan Aidiladha.
Namun,
di sebalik itu ada faktor dorongan atau tarikan luar biasa yang
menyebabkan Tanah Suci tidak pernah lengang dan sunyi. Justeru,
pengamatan terhadap kelebihan terkandung dalam Zulhijjah yang bakal
tiba, mengukuhkan semangat beramal pada akhir tahun dalam takwim Islam.
Allah
memberikan pelbagai keistimewaan dan kelebihan Zulhijjah antaranya,
kemuliaan 9 Zulhijjah iaitu hari Arafah. Kelebihan itu pula terletak
pada penilaian dan ganjaran Allah yang menjadi faktor dorongan luar
biasa untuk beriman, beramal dan berakhlak.
Justeru, jika dikaji
dengan mendalam, kita akan mendapati Allah menganugerahkan bagi umat
Islam dengan aturan sistem, proses penilaian dan ganjaran yang tiada
tolok bandingnya.Aturan sistem yang sangat lengkap,yang menyambung antara satu komponen dengan komponen yang lain tuk menjadikan satu pergerakan dan kitaran hidup yang sangat indah.
Pertama, sistem penilaian dan ganjaran Allah
itu Maha Adil meliputi setiap yang baik di sisi-Nya. Firman Allah SWT
yang bermaksud: “Dan katakanlah wahai Muhammad, beramallah kamu akan
segala apa yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang
beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah, ayat 105)
Kedua, penilaian-Nya Maha Menyeluruh sehinggakan tiada apapun yang terkecuali seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya
(dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah,
nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8)
Ketiga,
penilaian-Nya Maha Halus dan akan dicatat sementara keempat, penilaian
dan ganjaran Allah sesuai dengan kemampuan hamba-Nya. Oleh sebab itu,
hukum wajib menunaikan haji itu hanya disyaratkan kepada mereka yang
berkemampuan dari sudut material, kesihatan mahupun keselamatan diri
atau ahli keluarga yang ditinggalkan.
Kelima, penilaian dan
ganjaran itu memberikan kepuasan. Bahkan, semakin tinggi darjat dan
kesukaran melaksanakan sesuatu kewajipan itu semakin tinggilah
ketenangan dan kepuasan diperolehnya.
Keenam, ganjaran Allah Maha
Tinggi meliputi sesuatu yang tidak boleh diberi oleh makhluk serta amat
dihajati atau diingini manusia termasuklah ganjaran suci daripada dosa
dan dijanjikan syurga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa
yang menunaikan haji, tidak melakukan persetubuhan dan perkara fasik,
nescaya dia akan kembali suci bersih daripada dosanya seperti hari dia
dilahirkan oleh ibunya.” (Hadis riwayat imam al-Bukhari dan Muslim)
Ketujuh,
dalam penilaian dan ganjaran-Nya, Allah SWT menyediakan suasana
persekitaran penuh dengan rahmat dan keberkatan khasnya di Tanah Suci
Makkah.
Beginilah istimewanya sistem penilaian dan ganjaran Allah
SWT yang menjadi pendorong keimanan hamba-Nya. Justeru, prinsip dan
bentuk asas dalam sistem ini dijadikan panduan dalam mewujudkan dorongan
dan kepuasan bekerja hari ini, walaupun dalam pelbagai keterbatasan
manusia.
Namun, apa yang sangat mustahak untuk diambil pengajaran
adalah usaha mengambil pertimbangan yang seadil-adilnya dalam mengatur
sistem penilaian dan menyediakan imbuhan serta penghargaan yang wajar
dan setimpal.
Ia mestilah diusahakan sebaiknya oleh manusia dalam
segenap urusan mereka bagi membuahkan kepuasan kerja dan keberkatan
bagi pekerja serta majikan.
Wallahu'alam
Dipetik dari Halaqah.net
No comments:
Post a Comment