Sunday, October 30, 2011

Sejenak Kita Berfikir

Apa yang anda faham tentang dicipta? Allah mencipta setiap yang ada di bumi ini. Dan setiap ciptaannya pasti punyai pelbagai manfaat. Allah menciptakan manusia, Allah jua mencipta binatang. Pasti ada tujuan pada setiap penciptaan. Tapi tahukah kita? Tujuan hidup kita sebagai manusia dicipta untuk menunaikan amanah dan janji kita kepada Allah. Kita diamanahkan sebagai khalifah di bumi ini. Bila mana kita sebagai khalifah, kita jualah pembangun kepada masyarakat. Mana mungkin pembangun akan menjadi pemusnah. Harus diingat kita adalah pembangun bukan pemusnah, kita pengabdi kepada Allah.

Seperti mana dalam surah Al-Baqarah, ayat 30, “Dan ingatlah ketika mana Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘AKU hendak jadikan khalifah di bumi.’ Mereka berkata, ‘Apakah ENGKAU hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?’ DIA berfirman, ‘Sungguh AKU ketahui apa yang tidak kamu ketahui.’ ”
Surah Az-Zariyat, ayat 56, “AKU tidak ciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-KU.”

Allah Maha Mengetahui dan pada setiap ciptaan-NYA pasti tersirat pelbagai tujuan. Subhanallah!

Pertanyaan yang ribuan kali sering ditanyakan, pertanyaan ini sering kali kita dengar: Siapa diri kita? Apa nama kita? Dari mana asal kita? Untuk apa kita dicipta? Tahukah kita sahabat, kita hanyalah makhluk yang dicipta dari sesuatu yang hina. Sedarkah kita? Bukankah terciptanya kita bermula dari setitis air yang menyinar, lalu berlaku penyatuan antara dua. Segumpal darah menjadi daging, kemudian satu persatu dibentuk, kemudian tangan dibentuk dengan sempurna.


Sahabat, cuba renungkan sejenak disaat tubuh ini tidak berdaya dalam kandungan. Disaat tangan dan kaki sedikit terbina, kita mula mengorak langkah, kaki yang selama ini kita melangkah! Tubuh yang kita rasakan saat ini! Mungkin wajah yang kita banggakan dihayat kita ini, tubuh yang kita bongkakkan selama hidup ini – apakah berhak kita merasai semua itu? Ingatlah sahabatku, ingatlah semua itu dulunya belum tercipta.
Dulunya hanyalah setitis air yang hina.

Ayuh, sahabat! Lihatlah, lihatlah dengan hati dan jiwamu pada segala ciptaan yang agung ini. Pernahkah kita menghayati saat wajah kita, tangan kita, yang dulunya tidak berdaya untuk bergerak. Selama sembilan bulan ibu kita menjaga kita, membawa kita pada setiap langkahnya. Disaat tubuh ini tidak berdaya, renunglah kembali sahabat. Ibu menjaga untuk memastikan kita terjaga. Tapi sedarkah kita, sedarkah kita sahabat? Pernahkah kita menghayati saat ini – udara yang mengalir dalam paru-paru, udara yang kita hirup saat ini, syukurkah kita? Darah? Darah yang mengalir dalam tubuh kita, pernahkah kita menyedari? Pernahkah terlintas di hati kita sebagai hamba yang hina? Renunglah sejenak sahabat. Pernahkah kita terbayang kita yang dulunya dari tiada kepada ada? Tubuh ini berdiri untuk apa sahabat? Untuk menunaikan janji kita dengan Allah. Sedarlah sahabatku sayang dari mana datangnya kita yang kerdil ini.

Sahabat, masuklah dengan hati lurus, rasailah dengan jiwa yang tulus, nikmatilah kurnia yang Allah kurniakan selama hayat kita hidup. Selama mana nafas ini ada, selama mana tangan, kaki dan anggota kita bergerak, dengan apa sahabat? Dengan tenaga, bukan? Lantas dari mana tenaga itu datang? Dari Pencipta-Mu, bukan?

Dengan nikmat inilah kita mampu melakukan kerja, kita mampu bergerak kerja.

Bayangkan, bayangkan sahabat. Dari mana semua ini dimulakan? Pernahkah kita semua terasa tergetar dengan keagungan Allah? Pernahkah terlintas dalam hati kita rasa syukur atas nikmat ini? Sudah berapa banyak helaan nafas yang kita tarik dalam paru-paru kita.
Disaat kita memandang wajah ibu bapa kita, disaat kita melangkah dan dalam setiap langkahan kita, cubalah sahabat, tanyalah ke dalam diri kita: Adakah kehidupan dunia ini abadi dan kekal? Dan siapa pula yang akan mematikan kita? Ingatlah dicipta kita bukan untuk sia-sia tapi untuk suatu maksud, satu tujuan. Tahukah kalian semua ini amanah sementara titipan dari Allah untuk hamba-NYA. Semua ini adalah sementara sahaja. Sedarlah. Bangkitlah dari angan-anganmu. Cuba renung sejenak. Rasalah dengan hati dan jiwa amanah kita untuk mengabdikan diri kepada Allah. Pada suatu saat Allah akan meminta pertanggungjawaban dari kita.

Rasa dengan sepenuh jiwa pada setiap ciptaan-NYA. Semoga Allah membuka hati kita untuk satu perjalanan yang sangat jauh penuh liku.

Seperti mana dalam firman-Nya, “Tidak AKU ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-KU.”

Sahabat, ayuh kita hidup dengan hablumminallah dan hablumminannas kerana dunia sementara ini bakal kita tinggalkan. Hanya tiga perkara yang akan menyelusuri: doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat, dan sedeqah jariyah.

Rasakan dengan jiwa satu makna dalam hati kita. Semoga Allah berkati setiap waktu, setiap saat yang menjengah dalam hidup kita.

Fikirkan dan renungkan, adakah sepanjang hidup kita ini kita sudah kenal diri kita ini? 
Adakah hubungan kita dengan Allah terus mantap dan rapat?
Adakah kita insan yang pernah lupa Allah walaupun sesaat?
Allah amat sayangkan kita. Ayuh kita ketuk hati kita supaya kita lebih dekat kepada Allah. Rujuklah kepada DIA yang satu bila mana masalah bergentayangan di langit fikiran.

No comments:

Post a Comment