Monday, November 7, 2011

Muhammad Al-Fateh Sebaik-baik Pemimpin

Pagi 22 April 1452 bersamaan dengan 852 Hijrah, penduduk Constantinople dikejutkan dengan laungan takbir, paluan gendang, dan nasyid. Demikian gema kemenangan tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Sekali gus gema itu seolah-olah satu serangan psikologi kepada penduduk kota berkenaan. Penduduk Constantinople seperti tidak percaya kekuatan tentara Muhammad al-Fateh. Tidak dapat dibayangkan, bagaimana tembok setebal 4 lapis, setinggi 25 kaki, dan sejauh 160 kaki itu berjaya ditembusi oleh tentera Muhammad al-Fateh?

Suatu yang menakjubkan, tentera Sultan Muhammad al-Fateh telah membawa kapal-kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas merentasi bukit melalui jalan darat! Taktik peperangan seperti ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana tentera sebelum ini. Tentera Uthmaniah dengan semangat dan kekuatan yang luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari Selat Bosphorus ke Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Sedangkan mereka terpaksa melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak yang melebihi tiga batu. Sebahagian mereka menyangka bahawa tentera al-Fateh mendapat bantuan jin dan syaitan!

Siapakah sebenarnya Sultan Muhammad al-Fateh ini? Beliau ialah sultan ketujuh Khilafah Islamiah Uthmaniyah. Beliaulah pembuka kota Constantinople atau yang dikenali hari ini sebagai Istanbul. Ketika itu beliau baru menjangkau usia 26 tahun. Peperangan yang maha hebat itu memakan masa selama 54 hari. Keadaan inilah yang pernah dibayangkan oleh baginda s.a.w. ketika dalam perang Khandak. Antara lain baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Constantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik pemimpin ialah ketuanya dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya.”

Proaktif kah Aku???

Proaktif, berstrategi dan berakhlak. Ini peranan kita dalam gerakan Islam kerana apa yang kita cari di akhir nanti adalah daripada setiap amalan kita yang mendapat redha dan 'lampu hijau' daripada Allah. Ahli gerakan Islam yang proaktif menggunakan masa dan tumpuan mereka kepada penyelesaian, bukan permasalahan.

Semua orang boleh melihat masalah, tetapi orang berjaya sahaja yang yang mampu melihat jalan penyelesaian. Kita sebagai orang mukmin, pasti akan diuji di medan perjuangan ini. Tatkala kita diuji, asyik mengeluh dan merungut masalah, masalah dan masalah, kita sebenarnya akan gagal sebelum gagal. Tribulasi dalam perjuangan adalah sebagai kayu ukur sejauh manakah keberkesanan tarbiyah.

Jangan kita lemah dan berputus asa dengan seribu satu masalah dan luaran yang berduyun-duyun datang merapati kita.

Proaktif bermaksud, mengambil kawalan dan tanggungjawab ke atas diri kita sendiri. Kita tidak meletakkan kualiti hidup kita atas sesuatu yang kita tidak boleh kawal.Tidak menafikan masalah di pihak lain, tetapi melihat perubahan dan penyelesaiannya berada di tangan sendiri.

Saturday, November 5, 2011

Muhasabah Dzulhijjah

SYAWAL bulan meraikan kemenangan sudah pun melabuhkan tirainya, DZULKAEDAH pula menjelma dengan suasana yang mampu mencetuskan pemikiran, menggerakkan hati keinsafan serta membangkitkan semangat beramal apabila melihat jemaah haji mula berlepas ke Tanah Suci.

Kewajipan DZULHIJJAH ini bakal melengkapkan rukun Islam yang kelima dan diari setahun amalan umat Islam. Ibadah haji penuh dengan pengajaran bukan saja kepada bakal jemaah, malah semua umat Islam di seluruh pelusuk dunia.

"Dan katakanlah wahai Muhammad, beramallah kamu akan segala apa yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan." – Surah Al-Taubah, Ayat 105

Semangat tinggi jemaah haji walaupun dalam keadaan ada yang bertongkat, berkerusi roda, sudah berusia dan uzur atau masih muda, meninggalkan anak masih kecil serta ahli keluarga memerlukan semata-mata menunaikan kewajipan serta pengabdian, mampu menyuntik semangat kita semua.

Maha Suci Allah yang panggilan-Nya tidak mengira usia, rupa, jantina, kekuatan, pangkat mahupun darjat. Hakikatnya, yang mereka hajati walau jauh beribu batu dan dengan segala macam ujian yang akan ditempuh adalah rahmat, keampunan dan keredaan-Nya.

Sememangnya perjalanan itu suatu pengembaraan ujian seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perjalanan atau bermusafir itu adalah sebahagian daripada azab (penderitaan).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Dengan sebab itulah, kejayaan bermusafir dalam ibadat haji dan mengambil roh daripada ibadat itu iaitu pengorbanan diraikan pula dengan Aidiladha.

Namun, di sebalik itu ada faktor dorongan atau tarikan luar biasa yang menyebabkan Tanah Suci tidak pernah lengang dan sunyi. Justeru, pengamatan terhadap kelebihan terkandung dalam Zulhijjah yang bakal tiba, mengukuhkan semangat beramal pada akhir tahun dalam takwim Islam.